$380,000 from Citi for financial literacy programmes in schools

$380,000 from Citi for financial literacy programmes in schools

Date
Tuesday, 31 August 2010

Media Type
Berita Harian

$380,000 dari Citi bagi program celik wang di sekolah

Sebelum ini, duit $6 yang diberikan ibu bapanya sebagai wang saku ke sekolah setiap hari habis dibelanjakan.

Namun, sejak menyertai program celik wang di sekolah, Muhd Razi Abdul Razak, 13 tahun, tidak lagi berbuat demikian.

Sebaliknya, sedolar daripada wang itu disimpan ke tabung.

Ditanya sebabnya, Muhd Razi, pelajar tahun pertama Sekolah Assumption Pathway (APS), berkata duit itu disimpan sebagai "duit kecemasan jika ibu jatuh sakit dan tiada wang ke doktor".

Razi merupakan antara 150,000 pelajar dan 2,000 guru daripada 240 sekolah di Singapura yang memanfaatkan program celik kewangan hasil kerjasama Institut Pendidikan Nasional (NIE) dan Citi sejak dilancarkan 2007.

Citi Singapore, melalui Citi Foundation, membiayai lebih $1 juta bagi program itu sejak dilancarkan.

Gembira dengan kesan program itu, Ketua Negara Citi, Encik Michael Zink, berkata bank itu komited untuk melaburkan $380,000 bagi program tersebut bagi tahun ini dan mungkin tahun depan.

Rancangannya ialah memanfaatkan 3,000 guru dan 250,000 pelajar menjelang 2012.

Melalui Pusat Celik Kewangan Citi-NIE, program itu bertujuan melengkapi para guru dengan kemahiran bagi memperkenalkan konsep celik kewangan yang diterap dalam mata pelajaran seperti ilmu hisab dan sains di kelas.

"Kami melihat faedah mewujudkan kesedaran kewangan di kalangan para pelajar daripada usia muda yang merupakan satu blok pembangunan yang penting dalam keupayaan mereka membuat keputusan kewangan pada tahap lanjut usia mereka," kata Encik Zink.

Di bawah program lanjutan, sekolah yang menyertai program itu akan diberi bimbingan agar guru-guru terlatih dapat memperkenalkannya di sekolah.

"Mempunyai guru pelatih mendorong usaha celik kewangan di sekolahsekolah meningkatkan lagi kesan positif lebih luas," ujar Pengerusi Pusat Celik Kewangan Citi-NIE, Dr Koh Noi Keng.

Pengarah NIE, Profesor Lee Sing Kong, menyifatkan program celik kewangan itu sebagai kemahiran kehidupan penting bagi para pelajar tidak kira latar belakang termasuk para pelajar daripada APS yang menempatkan para pelajar yang tidak lulus Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Bagi seorang lagi pelajar APS, Siti Suhailah Yakob, 13 tahun, program celik kewangan itu mengajarnya mengenai perbezaan kehendak dan keperluan dalam kehidupannya.

"Saya tidak lagi belanjakan duit saku saya bagi membeli perkakas tulis seperti buku nota dan pensel yang sudah saya miliki di rumah," kata pelajar tahun pertama sekolah itu.

Source: Berita Harian, sph