Child's luck helped teacher achieve dream

Child's luck helped teacher achieve dream

Date
Wednesday, 14 July 2010

Media Type
Berita Harian

Rezeki anak bantu guru capai impian

Beliau hamil anak kedua dan ketiganya dalam tempoh tiga tahun semasa melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Malah, hanya beberapa hari setelah melahirkan anaknya yang kedua pada Jun 2007, Cik Suhaila Mansor, 32 tahun, sudah mula menghadiri kuliah bagi pengajian kursus ijazah Sarjana Muda Sastera (Pendidikan).

"Bayangkan, saya terpaksa meninggalkan anak yang baru lahir beberapa hari di rumah untuk ke kuliah.

"Seawal 6.15 pagi lagi, saya sudah keluar rumah untuk menghadiri kelas di NIE," kata Cik Suhaila yang berulang-alik dari rumahnya di Pasir Ris, ke NIE di Boon Lay dengan menaiki MRT dan bas.

Tahun lalu, sewaktu penggal terakhirnya di NIE, beliau hamil lagi anak ketiga pula dan terpaksa menunda ujian praktikalnya kepada tahun ini dan lantas lambat setahun bagi tamat pengajiannya.

Ternyata, berkat keazaman yang kental untuk mempertingkatkan diri, beliau akhirnya meraih kepujian kelas kedua atasan dalam Sarjana Muda Sastera (Pendidikan).

Semalam, beliau juga menerima Hadiah Buku Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura (KGMS) kerana muncul sebagai pelajar terbaik dalam Bahasa dan Sastera Melayu bagi program ijazah tersebut.

"Terlalu banyak yang terpaksa saya korbankan tapi kata orang, anak itu rezeki. Sebalik setiap yang berlaku itu tentu ada hikmahnya. Bagi saya, dengan pencapaian ini, segala pengorbanan dan penat lelah saya berbaloi jua," kata Cik Suhaila.

Beliau juga sebak mengenangkan jasa suami dan ibu bapanya yang telah memberi dorongan untuk melanjutkan pelajarannya.

"Sudah tujuh tahun saya nantikan peluang untuk mengejar impian melanjutkan pelajaran bagi ijazah sarjana muda ini,'' kata guru di Sekolah Menengah Bedok South itu.

Seorang lagi guru yang telah meraih ijazah sarjana muda dengan keputusan yang cemerlang adalah Cik Eliana Mohamed, 26 tahun.

Beliau satu-satunya penuntut NIE Melayu/Islam yang lulus dengan kepujian kelas pertama bagi program Sarjana Muda NIE semalam, dan turut merangkul Hadiah Buku Victor Neo selaku pelajar terbaik bagi Bahasa Inggeris dalam Sarjana Muda Sastera (Pendidikan).

"Sebenarnya, saya hanya bermula sebagai seorang pelatih teknologi maklumat (IT) di Sekolah Menengah Ahmad Ibrahim.

"Lama-kelamaan, saya sedar bahawa lebih banyak yang boleh dilakukan untuk anak murid saya jika saya mempunyai latihan sebagai seorang guru," ujar Cik Eliana yang waktu itu pemegang diploma Perniagaan dan IT dari Politeknik Singapura.

Berucap di upacara penyampaian ijazah dan diploma di Nanyang Auditorium di Universiti Teknologi Nanyang semalam, Menteri Pendidikan, Dr Ng Eng Hen, berkata bahawa masyarakat memandang guru sebagai penerap nilai-nilai masyarakat yang beradab.

"Ini bukan sesuatu tuntutan yang tidak munasabah. Malah, ia satu pujian kerana ia bermakna mereka mempunyai kepercayaan terhadap para guru untuk membentuk generasi depan," kata Dr Ng.

Source: Berita Harian, sph