Contribution by teacher who helps students in old school worth it

Contribution by teacher who helps students in old school worth it

Date
Thursday, 15 July 2010

Media Type
Berita Harian

Sumbangan guru bantu murid di sekolah lama berbaloi

Bak sirih pulang ke gagang.

Setelah meninggalkan Sekolah Rendah Boon Lay Garden sekitar 15 tahun lalu, Encik Muhammad Fadylla Rashiman akhirnya kembali semula ke sekolah itu tiga tahun lalu.

Jika dahulu Encik Fadylla, 27 tahun, berada di sekolah itu sebagai pelajar, kepulangannya ke sekolah tersebut pada 2007 adalah sebagai guru pula.

Malah, di sekolah itulah beliau memulakan satu-satunya kerjaya yang menjadi impiannya.

"Semasa di menengah dua, saya selalu berikan tuisyen kepada anak-anak jiran saya. Setiap kali mereka faham apa yang saya ajarkan, saya rasa puas.

"Sejak itu saya tahu yang saya ingin menjadi seorang guru dan saya tidak pernah mengubah fikiran ataupun memikirkan untuk mencuba kerjaya lain," ujar beliau yang bakal menimang cahaya mata Oktober ini.

Kini usaha gigihnya menyumbang kepada para pelajar alma maternya itu membuahkan hasil apabila beliau dipilih sebagai antara penerima Anugerah Belia Cemerlang dalam Pendidikan (OYEA) 2010.

Encik Fadylla dan dua lagi pemenang anugerah tersebut menerima anugerah mereka daripada Menteri Pendidikan, Dr Ng Eng Hen, semasa majlis penyampaian ijazah Institut Pendidikan Nasional (NIE) kelmarin.

"Saya tidak sangka yang saya akan dipilih menerima anugerah ini. Ia memberikan saya semangat untuk terus menjadi inspirasi kepada murid-murid saya," ujar Encik Fadylla, yang menjawat Ketua Subjek bagi mata pelajaran Sains dan Penolong Guru Disiplin di sekolahnya.

Sebelum ini beliau menjadi inspirasi kepada salah seorang murid kelasnya, yang ketika itu berada di darjah tiga.

"Beliau mempunyai masalah tingkah laku. Pernah dia menggulingkan diri dalam kelas. Sebagai guru baru, saya rasa agak tercabar – bagaimana hendak mengendalikan kelas yang mempunyai murid-murid berkeupayaan rendah, apatah lagi dengan yang bermasalah," ujarnya.

Oleh itu, katanya, beliau cuba memahami mengapa muridnya itu berkelakuan demikian dan akhirnya menyedari bahawa murid tersebut datang daripada keluarga bermasalah.

Sejak itu Encik Fadylla membantu murid yang bakal menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) itu dengan memastikan dia dilengkapkan dengan kemahiran membuat pilihan yang tepat apabila berada dalam keadaan tertentu.

"Saya tidak mahu membantunya dengan memberikannya wang atau belikan benda-benda berharga mahal untuknya.

"Sebaliknya saya lebih suka saya ajar dia bagaimana membuat keputusan dan bertindak bijak menghadapi keadaan yang agak sukar di rumah. Bak kata pepatah Inggeris, saya tidak mahu berikan dia ikan, sebaliknya saya mahu ajarkan dia memancing," ujar Encik Fadylla, anak tunggal pekerja limbungan kapal dan suri rumah.

Selain itu, beliau juga menjadikan dirinya contoh kepada murid-murid Kelab Langsing dan Sihat (TAF) di sekolahnya.

"Saya tidak sekadar beritahu mereka untuk lakukan sesuatu. Sebaliknya saya kongsi pengalaman saya yang pernah gemuk dan bagaimana saya pastikan saya tetap dapat pingat emas untuk Ujian Kecergasan Fizikal Kebangsaan (Napfa).

"Saya tekankan kepada mereka, hendak seribu daya," ujarnya lagi.

Source: Berita Harian, sph