Gain knowledge to be leader in school from attending course

Gain knowledge to be leader in school from attending course

Date
Friday, 23 July 2010

Media Type
Berita Harian

Raih ilmu jadi pemimpin di sekolah berkat kursus

Mencari jalan menarik minat pelajar, melawat China dan mempelajari ciri-ciri kepimpinan yang baik.

Itulah antara yang diraih Cik Wahidah Ahamad, 39 tahun, dan Cik Rozainah Mohd Salleh, 42 tahun, hasil menyertai kursus Pengurusan dan Kepimpinan di Sekolah (MLS) di Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Malah, dua guru itu antara anggota kumpulan yang memenangi Anugerah Peringatan Dr J.M. Nathan bagi projek yang dijalankan dalam kursus empat bulan itu.

Bagi Cik Rozainah, ketua jabatan di Sekolah Menengah First Toa Payoh, pengalaman sepanjang kursus itu menyemarak kesungguhannya sebagai guru.

"Kami berpeluang ke Beijing selama lima hari untuk meninjau sistem pendidikan dan mengadakan lawatan ke beberapa sekolah. Apa yang menarik ialah sikap mereka yang mudah menyesuaikan diri dalam sekitaran kemajuan sejagat dan pada masa sama mengekalkan tradisi dan identiti mereka," kata beliau.

Cik Wahidah, ketua subjek di Sekolah Menengah CHIJ Katong Convent, pula menghargai panduan berkaitan kepimpinan yang beliau timba.

"Sebagai pemimpin kita perlu membangunkan bukan sahaja orang lain bahkan diri sendiri," kata beliau.

Mereka antara 172 peserta yang menerima sijil tamat kursus itu dalam satu majlis di Kolej Perkhidmatan Awam di Buona Vista semalam.

Kursus tersebut mempersiap para guru dengan kemahiran dan panduan untuk menjadi pemimpin di sekolah. Ia juga mendidik mereka mencari cara terbaik menarik minat dan memberi motivasi kepada pelajar.

Antara projek yang dijalankan Cik Rozainah dan Cik Wahidah ialah menyediakan pakej pembelajaran yang dapat menarik minat pelajar dalam subjek pengajian sosial.

"Tinjauan kami menunjukkan pengajian sosial kurang diminati pelajar kerana banyak bahan yang perlu dipelajari. Oleh itu, kumpulan kami mereka sebuah pakej pembelajaran berdasarkan kemampuan dan kegemaran pelajar.

"Menerusi pakej itu para pelajar diberi peluang memilih cara pembelajaran yang mereka gemari, contohnya pembelajaran menerusi muzik," kata Cik Wahidah.

Setelah melaksana pakej pembelajaran itu di sekolahnya, Cik Wahidah mendapati para pelajarnya kini lebih ghairah dan lebih berminat dalam kelas.

Source: Berita Harian, sph