More Assistance for Students with Special Needs

More Assistance for Students with Special Needs

Date
Friday, 09 March 2012

Media Type
Berita Harian (Pg 5)

SETIAUSAHA Parlimen Kanan (Pendidikan), Cik Sim Ann, mengumumkan rancangan pemerintah menyediakan lebih banyak bantuan bagi golongan pelajar yang mempunyai keperluan khas.

Kementerian Pendidikan (MOE), misalnya, akan membelanjakan $3.6 juta bagi menerajui projek perintis di sekolah bagi membantu kanakkanak yang menghidap disleksia atau kesukaran membaca.

Menyertai perbahasan belajawan bagi MOE di Parlimen semalam, Cik Sim berkata MOE berkongsi visi memperkasa individu cacat memaksimumkan potensi mereka agar dapat berintegrasi sepenuhnya dalam masyarakat.

"Kami mahu meningkatkan mutu Pendidikan Khas (Sped), memastikan rakyat mudah dan mampu menikmatinya, agar setiap kanak-kanak berpeluang mengharungi kecacatannya dan bersedia melibatkan diri dalam masyarakat," ujar beliau.

Cik Sim berkata projek perintis membantu kanak-kanak yang mempunyai disleksia akan dilaksana di 20 sekolah rendah dari tahun ini hingga tahun depan.

"Ia bertujuan membantu murid darjah tiga yang dikenal pasti (menghidap disleksia) agar mempunyai keupayaan membaca setaraf dengan teman-teman sebaya mereka menjelang darjah empat," jelas Cik Sim.

Beliau turut mengumumkan rancangan pemerintah mempertingkat mutu pembelajaran sekolah-sekolah Sped serta memperhalusi proses permohonan dan kemasukan ke sekolah sedemikian.

Misalnya, MOE membelanjakan $150 juta bagi memperbaiki prasarana sekolah-sekolah Sped sepanjang 10 tahun lalu. Antara hasilnya ialah Sekolah Metta, iaitu bagi murid kurang daya intelek, dapat menerima lagi 150 pelajar mulai tahun depan apabila bangunan tambahannya siap.

Selanjutnya, sebuah panel berbilang agensi akan dibentuk bagi memperhalusi proses permohonan memasuki sekolah-sekolah Sped.

"Panel itu akan membangunkan proses permohonan lebih mudah bagi semua 20 sekolah Sped," kata Cik Sim.

MOE akan melaksana proses baru itu Oktober ini.

Mengenai usaha memperbaiki mutu pembelajaran Sped, MOE akan mempertingkat kemahiran guru dalam bidang tersebut. Guru sekolah Sped yang tidak terlatih akan menjalani kursus diploma dalam pendidikan khas (Dise) selama setahun di Institut Pendidikan Nasional (NIE).

Turut diperkenal ialah biasiswa bagi guru Sped yang ingin melanjutkan pendidikan di peringkat sarjana di NIE atau di universiti luar negara.

Source: Berita Harian (Pg 5), sph