Ser Luck appointed as Mayor of YOG village

Ser Luck appointed as Mayor of YOG village

Date
Tuesday, 08 June 2010

Media Type
Berita Harian

Ser Luck dilantik Mayor Kampung Belia Olimpik

Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan), Encik Teo Ser Luck, telah dilantik menjadi Mayor Kampung Belia Olimpik (YOV).

Beliau akan dibantu oleh bekas pelari pecut negara, C. Kunalan, dan bekas puteri emas Singapura, Joscelin Yeo.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan, Dr Vivian Balakrishnan, semasa beliau mengadakan kunjungan ke YOV di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), tempat penginapan para peserta dan pegawai Sukan Belia Olimpik (YOG), petang semalam.

"Saya dengan sukacita ingin mengumumkan perlantikan Encik Teo sebagai Mayor YOV dengan dibantu oleh Kunalan dan Joscelin.

"Saya berpendapat mereka bertiga akan membentuk sebuah pasukan yang baik untuk menjalankan tanggungjawab ini. Ketiga-tiga mereka telah melahirkan komitmen untuk menerima tugas ini.

"Pelbagai isu mungkin boleh timbul dalam YOG pada Ogos ini nanti tetapi saya yakin ketiga-tiga mereka mempunyai keupayaan mengatasi apa juga masalah yang timbul nanti," jelas Encik Balakrishnan.

Mengulas tentang perlantikannya itu, Encik Teo berkata: "Saya berasa sungguh gembira diserahkan tugas ini, lebih- lebih lagi saya adalah bekas penuntut NTU."

Joscelin pula berkata YOV akan memberi peluang kepada para atlit daripada pelbagai negara saling berkenalan antara satu lain melalui acara kebudayaan dan juga pendidikan.

"Dulu, semasa saya menjadi peserta, saya lihat apabila para atlit pergi sarapan pagi, saya lihat kelainan dari segi selera dan juga ragam," kata Joscelin.

Awal sebelum itu, Dr Balakrishnan telah meninjau segala kemudahan yang disediakan dan bakal diadakan sepanjang YOG nanti.

Antara tempat yang beliau kunjungi ialah tempat penginapan para atlit yang akan berkongsi dua orang sebilik.

Mengulas tentang keadaan bilik penginapan, Dr Balakrishan berkata: "Sesiapa yang berpeluang melihat keadaan bilik pasti tahu ia sungguh selesa dan selamat.

"Saya yakin para atlit dan pegawai akan menikmati pengalaman yang sukar dilupakan apabila menetap di Kampung YOG nanti."

Mengenai kerja-kerja yang dijalankan untuk menambah dan mengubah elok kemudahan di YOV, Dr Balakrishnan berkata semua kerja itu berjalan mengikut masa yang ditetapkan.

Menurut beliau, jika dalam sukan- sukan lain, kerja-kerja pembinanan kemudahan pasti sedang sibuk dijalankan menjelang dua bulan sebelum sukan itu dianjurkan.

Tetapi, beliau menegaskan, di sini, tempatnya telah tersedia dan semua kerja yang ingin dilakukan berjalan lancar.

"Saya yakin segala kemudahan Kampung YOG akan selesai pada masanya dan saya yakin para atlit akan berasa puas hati dengan segala kemudahan yang disediakan nanti," tambahnya.

Source: Berita Harian, sph