Sports participation has its benefits

Sports participation has its benefits

Date
Wednesday, 26 May 2010

Media Type
Berita Harian

Penyertaan dalam sukan ada ganjarannya

Persidangan Sukan Belia

Dr Ng sebut contoh tiga atlit yang kini di puncak kerjaya masing-masing

Kejayaan tiga atlit negara mendaki ke puncak kerjaya masing- masing harus dijadikan contoh mengenai apakah sumbangan yang mampu diberikan oleh sukan pada masa akan datang.

Bekas ratu renang, Joscelin Yeo, kini merupakan Anggota Parlimen Dilantik; jaguh kapal layar, Dr Benedict Tan, kini Pengarah Perubatan di Pusat Perubatan Sukan Singapura; dan Oon Jin Teik, jaguh renang nasional tidak lama dulu, kini mengetuai Majlis Sukan Singapura (SSC) selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Ketiga-tiga nama itu telah disebut oleh Menteri Pendidikan, Dr Ng Eng Hen, sebagai menyemarakkan semangat bakat-bakat muda sukan negara meneroka apakah yang mampu disediakan oleh bidang sukan dalam meniti kehidupan masa depan.

Menurut Dr Ng, pendidikan jasmani di peringkat sekolah dan sukan bukan sekadar mampu membentuk kemahiran, malah meningkatkan kesihatan dan tahap ketahanan.

Dr Ng, yang juga Menteri Kedua Pertahanan, memberikan contoh kejayaan ketiga-tiga olahragawan dan olahragawati itu di upacara pembukaan rasmi Persidangan Sukan Remaja dan Persidangan Antarabangsa bagi Pendidikan Jasmani dan Sains Sukan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Suntec malam tadi.

Menteri itu turut menekankan bahawa para pelajar mampu menimba pelbagai kemahiran seperti pengurusan peribadi, bertanggungjawab dalam membuat sesuatu keputusan selain kesedaran sosial.

"Semua ini bukan sahaja mampu membantu mereka dalam kegiatan sukan, malah boleh dimanfaatkan dalam kehidupan harian," demikian kata Dr Ng.

Dengan kesedaran tersebut, Kementerian Pendidikan (MOE) turut mengorak langkah dengan inisiatif menyediakan Rangka Pembangunan Sukan dan Pendidikan Jasmani.

Ia merangkumi tiga cabang – Penyertaan Secara Ramai, Sukan Yang Khusus dan Pembangunan Bakat.

"Ketiga-tiga rangka dan program ini menuju ke satu matlamat yang sama iaitu membantu membentuk para pelajar dalam meningkat mutu ke atas tanggungjawab pada diri sendiri, mempunyai harga diri, selain memiliki semangat kesukanan yang positif.

"Ini juga termasuk pentingnya menghormati orang lain, bertindak secara adil dan melakukan sesuatu dengan semangat sebagai sebuah pasukan."

Dr Ng tidak ketinggalan mengingatkan bahawa jurulatih turut memainkan peranan penting dalam membentuk ahli sukan. Kerana itulah MOE turut menyediakan pelbagai kursus bagi membantu para jurulatih meningkatkan kesedaran mengenai dasar pendidikan setempat, selain melengkapkan mereka dengan asas kemahiran terkini.

Hampir 1,000 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah, maktab rendah, politeknik, Institut Pendidikan Teknikal dan sekolah antarabangsa di sini menyertai persidangan yang julung-julung kali diadakan itu.

Ia dianjurkan oleh Institut Pendidikan Nasional MOE dengan Maktab Rendah Victoria selaku tuan rumah bagi sidang yang berjalan tiga hari, mulai semalam dan berakhir di maktab tersebut esok.

Source: Berita Harian, sph